Monday, 9 July 2018








POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH
DUA2012 :
 SAINS TEKNOLOGI DAN KEJURUTERAAN DALAM ISLAM
DEE2A – JUN 2018
TAJUK :
KAITAN ANTARA MAKANAN DAN KESIHATAN MENURUT PERSPEKTIF AL-QURAN DAN SAINS
NAMA PENSYARAH :
 PN. NORAINI BINTI NAWAWI
NO. MATRIK :
NAMA PELAJAR :
02DEE17F2029
MUHAMMAD FAHRUR ROSI BIN CHOIRIL ANUAR
02DEE17F2019
AMIRUL AFIQ BIN MOHD RASID
02DEE17F2003
NIK MOHAMMAD AL-HAFIZ BIN NIK PA
02DEE17F1161
MUHAMMAD KHAIRUL AZHAR BIN AZMI
02DEE17F2023
MUHAMMAD HARITZ NAQIUDDIN BIN MURSHIDY
02DEE17F2017
FARIS FIDAIY BIN ISA


ISI KANDUNGAN
NO
PERKARA
1.0
PENDAHULUAN
2.0
PEMAKANAN DAN KESIHATAN MENURUT AL-QURAN DAN SAINS  :-

2.1 – PEMAKANAN
         2.1.1 – DEFINISI MAKANAN
         2.1.2 – KONSEP HALAL DALAM ISLAM
         2.1.3 – PRINSIP MAKANAN HALAL DAN HARAM
                  2.1.3.1 – PRINSIP PERTAMA
                  2.1.3.2 – PRINSIP KEDUA
                  2.1.3.3 – PRINSIP KETIGA
2.2 – GARIS PANDUAN PEMAKANAN DAN KESIHATAN
         2.2.1 – GARIS PANDUAN MENURUT ISLAM
         2.2.2 – GARIS PANDUAN MAKANAN HALAL DI MALAYSIA
         2.2.3 – SUMBER MAKANAN
                  2.2.3.1 – HAIWAN
                  2.2.3.2 – TUMBUHAN
                  2.2.3.3 - MINUMAN
                  2.2.3.4 – BAHAN SEMULAJADI
                  2.2.3.5 – BAHAN KIMIA
                  2.2.3.6 – BAHAN TAMBAH
2.3 – AMALAN DALAM ISLAM DAN SAINS KESIHATAN
         2.3.1 – BERWUDUK
         2.3.2 – SOLAT
         2.3.3 – BERPUASA
2.4 –  PENJAGAAN KESIHATAN MENURUT PANDANGAN PERUBATAN DAN ISLAM
3.0
KESIMPULAN
4.0
RUJUKAN
5.0
LAMPIRAN




1.0 - PENDAHULUAN

Al-Quran merupakan sumber primer yang diturunkan oleh Allah S.W.T. Sebagai panduan bagi kehidupan manusia. Ia juga dapat dijadikan sebagai panduan asas dalam penentuan halal haram khususnya produk makanan dan barangan pengguna umumnya. Dewasa ini, timbul pelbagai isu makanan dalam masyarakat Malaysia, kesan perkembangan sains dan teknologi. Di antaranya isu melibatkan penggunaan sumber bahan mentah yang bercampur dengan gelatin, lemak, darah, arak, anggota badan haiwan yang tidak disembelih, bangkai dan haiwan yang diharamkan seperti khinzir. Hal ini menimbulkan rasa kebimbangan di kalangan pengguna khususnya Muslim dalam memilih produk makanan yang dapat dipastikan kesuciannya. Malah tidak dinafikan terdapat sebilangan pengguna yang tidak memahami dengan baik konsep makanan halal yang sebenar. Berdasarkan polemik tersebut, kajian ini akan memfokuskan kepada konsep makanan halal haram menurut perspektif al-Qur'an. Selain itu, penelitian juga dilakukan terhadap kriteria makanan halal haram yang dinyatakan di dalamnya serta isu-isu semasa yang berkaitan.
            Dalam membicarakan tentang makanan, Islam sangatlah menitikberatkan isu-isu yang berkaitan dengan halal dan haram. Di dalam al-Quran, Allah SWT telah mengecam sikap orang-orang Yahudi, Nasrani dan Musyrik yang telah menentukan kriteria halal dan haram terhadap makanan berdasarkan hawa nafsu semata-mata. Sebaliknya Allah SWT sentiasa menyarankan manusia agar mengambil makanan yang halal lagi baik dan melarang mengikut jejak langkah syaitan dalam menetapkan kehalalan sesuatu makanan. Allah SWT dengan sifatNya al-Rahman tidak membiarkan hambaNya berada di dalam kegelapan dalam menghadapi isu yang berkaitan dengan halal dan haram. Kesemuanya telah dijelaskan oleh Allah SWT secara terperinci melalui al-Quran dan al-Sunnah.

2.0      PEMAKANAN DAN KESIHATAN MENURUT AL-QURAN DAN SAINS

Salah satu persoalan yang sentiasa dibincangkan oleh pengguna khususnya Muslim adalah pemilihan makanan halal dan haram. Dengan perkembangan sains dan teknologi yang berlaku, produk makanan yang dihasilkan kini lebih bersifat segera, bervariasi dan menarik. Makanan yang disediakan  hendaklah dipastikan kebersihannya, dibasuh dengan cara yang betul dan dimasak dengan sempurna. Jangan mengendalikan masakan makanan untuk juadah keluarga keluarga dan orang lain secara sambil lewa tanpa mengambil kira kesan dan risikonya selepas itu.

"Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu, maka tidaklah ia berdosa), sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." 

[Surah An-Nahl : ayat 115]                                                                                   

"Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul   kamu hanya beribadat kepadanya."

 [Surah Al-Baqarah : ayat 172                                                      

Selain itu, menunaikan hak terhadap tubuh badan bererti menikmati tahap upaya yang benar -benar  baik dan selamat  disegi fizikal, mental, emosi, dan rohani secara  optimum sehingga  berupaya mencapai potensi  dan matlamat kehidupan yang dipandukan agama. Mukmin yang kuat mempamerkan kekuatan agama berbanding dengan mukim yang lemah. Rasulullah s.a.w. lagi yang bermaksud "Orang mukmin yang kuat lebih baik dan disukai oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah." (Hadis Riwayat Muslim).

2.1     PEMAKANAN

2.1.1          – DEFINISI MAKANAN.

       Makanan adalah sesuatu yang secara fizikalnya boleh dikenali samada dari segi warna, bentuk, bau dan rasa. Dalam bahasa Arab, makanan adalah at„imah iaitu kata jamak kepada ta„am yang bermaksud segala apa yang dimakan untuk mendapatkan kekuatan badan. Perkataan ta„m pula bermaksud merasai sesuatu samada manis, pahit, masam, masin dan sebagainya. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat makanan adalah bermaksud apa sahaja yang boleh dimakan seperti roti, nasi dan lain-lain.Menurut Mohamed b. Jusoh makanan boleh diertikan sebagai memamah atau menguyah sesuatu benda yang bukan berbentuk cecair. Ertinya, makanan pada kebiasaannya merupakan kepada perbuatan memakan benda yang berketul, berbiji, berbuku yang boleh dikunyah seperti nasi, roti, buah-buahan dan sebagainya. Manakala minum pula ialah perbuatan meneguk atau menghirup sesuatu yang cair seperti susu, air atau madu yang tidak perlu dikunyah atau dimamah.
       Kooi Ean mendefinisikan makanan sebagai bahan yang boleh dimakan dan digunakan oleh badan untuk melaksanakan fungsinya. Makanan mengandungi zat dan apabila dimakan ia digunakan oleh badan untuk mengeluarkan tenaga bagi mengekalkan suhu badan, membina dan menjaga kesempurnaan tisu badan dan untuk pembiakan dan membekal bahan-bahan bagi melaksanakan pelbagai proses dalam badan.
       Manakala “Dorland‟s Illustrated Medical Dictionary” mentakrifkan makanan sebagai apa sahaja yang diambil oleh badan yang membina tisu atau membekalkan badan dengan kehangatan, pencernaan dan zat makanan. Menurut “Bender‟s Dictionary of Nutrition and Food Technology”, makanan adalah suatu bahan yang dimakan oleh mulut untuk memantapkan kehidupan dan pertumbuhan, membekalkan tenaga serta memperbaiki tisu. Sementara bagi Nancy J. Peckepaugh dan Charlotte M. Poleman pula, mereka mengatakan bahawa makanan adalah apa-apa bahan, sama ada pejal atau cecair yang apabila diambil dicerna dan diserap akan digunakan untuk membina dan mengekalkan tisu badan, mengawal atur proses badan serta membekalkan tenaga.
       Dalam istilah sains, tiada perbezaan antara makanan dan minuman kerana kedua-duanya dimasukkan di bawah proses pemakanan. Menurut Turner R.N. pemakanan ialah kombinasi dari proses bagaimana organism mengambil, menghadap, menyerap, mengangkut, mengguna serta mengkumuh bahan makanan tersebut untuk tujuan pembesaran dan membaik pulih komponen di dalam badan.

2.1.2     – KONSEP HALAL DALAM ISLAM.

       Perkataan “Halal” adalah daripada kalimah Arab yang bermaksud dibenarkan atau dibolehkan. Al-Quran telah menyatakan perkataan halal sebanyak 49 kali. Oleh yang demikian sebahagian besar penggunaan perkataan halal adalah merujuk kepada makanan umat Islam sepeti Firman Allah yang berbunyi : “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah jika betul kamu hanya beribadat kepadanya”.
       Oleh yang demikian, majoriti ulama bersepakat mengatakan bahawa asal setiap sesuatu perkara adalah harus atau halal selagi tiada nas yang nyata mengharamkannya. Ternyata Islam memberi kemudahan begitu luas kepada manusia dalam mengatur kehidupannya. Oleh itu, seseorang tidak boleh sama sekali mengatakan haram kepada yang halal. Begitu juga, menghalalkan kepada yang haram. Allah berfirman :  “Wahai orang-orang yang beriman! Jangan kamu haramkan sesuatu yang baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas”.

2.1.3    – PRINSIP MAKANAN HALAL DAN HARAM.

       Prinsip dalam makanan halal adalah penting sebagai panduan umum dan mudah difahami terhadap konsep asas perundangan syariah, Dr. Yusuf al-Qardhawi menggariskan 11 perkara dalam bukunya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam mengenai halal haram : Asal tiap sesuatu adalah harus (mubah).
       i. Penentuan halal-haram adalah hak mutlak Allah semata.
       ii. Mengharamkan yang halal dan sebaliknya merupakan kesyirikan.
       iii. Perkara haram akan menimbulkan keburukan dan mudarat.
       iv. Setiap yang halal tidak memerlukan yang haram.
       v. Perantara menuju keharaman adalah haram.
       vi. Bersiasat terhadap yang haram adalah haram.
       vii. Niat baik tidak menghalalkan yang haram.
       viii. Jauhilah syubhah agar tidak terjatuh dalam perkara haram.
       ix. Yang haram berlaku untuk semua orang .
       x. Darurat membolehkan yang terlarang.


       Terdapat tiga prinsip untuk menentukan halal atau haramnya makanan mengikut ayat 145 dalam surah al-An’am, ayat 157 dalam surah A’araf dan ayat 4 dalam surah al-Maidah seperti berikut: (Zulkifli Mohamed al-Bakri 2005)

2.1.3.1 - Prinsip Pertama :
       Semua binatang yang dianggap elok oleh orang arab semasa hidup senang, dan pada zaman Rasullullah S.A.W Halal. Berdasarkan prinsip tersebut antara binatang yang halal ialah:
       1- Semua jenis ikan yang hidup di dalam laut walau apapun namanya. Hal yang demikian kerana binatang tersebut dianggap elok oleh orang arab,
       2- Binatang ternakan iaitu unta, lembu, biri-biri, kambing, seladang, kijang, arnab dan lain-lain yang dianggap elok oleh orang arab yang kemudiannya diakui halal oleh syarak.

2.1.3.2 - Prinsip Kedua :
       Semua binatang buas yang mempunyai taring yang kuat untuk menangkap mangsa adalah haram. Binatang tersebut seperti anjing, babi, serigala, beruang, kucing, gajah, singa, harimau bintang dan seumpamanya. Manakala burung yang haram dimakan ialah yang mempunyai kuku yang kuat dan boleh melukakan seperti burung helang dan burung rajawali.
2.1.3.3 - Prinsip ketiga :
Semua jenis binatang yang sunat dibunuh adalah haram dimakan.
Binatang tersebut seperti ular, kala jengking, gagak, tikus dan semua binatang yang memudharatkan.


2.2     GARIS PANDUAN PEMAKANAN DAN KESIHATAN

2.2.1     – GARIS PANDUAN MENURUT ISLAM.

       Islam sebagai agama yang diturunkan oleh Allah SWT sesuai dengan fitrah manusia yang mengimbangkan tuntutan jasmani dan rohani telah memberikan berbagai-bagai panduan dalam setiap aspek kehidupan termasuk dalam hal-hal yang berkaitan dengan makanan dan pemakanan, antaranya seperti berikut:
       a) Mengambil makanan yang memberikan kesihatan iaitu dengan memilih makanan yang halal23 ini dapat dilihat melalui firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah (2):172.
 “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya”.
       b) Menjauhi makanan yang diragui sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Abdullah bin Nu‟man b. Basyir ra.: Katanya beliau telah mendengar bahawa Rasulullah SAW bersabda:.....“dan barang siapa yang terjatuh ke dalam perkara-perkara kesamaran jatuhlah ia ke dalam yang haram”
       c) Memilih makanan yang baik dan segar. Pengertian makanan yang baik di sini ialah asal zatnya, susunan komposisinya, baik cara memasak dan menghidangkannya serta halal cara mendapatnya.
       d) Menjauhi makanan yang mengandungi bahan kimia, makanan yang diawetkan serta mengandungi pewarna yang tinggi. Dalam kontek semasa termasuk dalam kategori ini ialah makanan terproses, makanan dalam tin, botol, berbungkus, makanan segera dan ringan.
       e) Memilih makanan yang bergizi tinggi iaitu makanan pembina badan dan makanan pemberi tenaga serta makanan untuk menjauhi penyakit dan mengambil makanan yang seimbang.


2.2.2    – GARIS PANDUAN MAKANAN HALAL DI MALAYSIA.

       Di Malaysia pihak yang memainkan peranan terbesar dalam menentukan kehalalan sesuatu makanan, minuman dan barangan gunaan orang Islam adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Pihak Jakim ada menyediakan garis panduan berkaitan dengan pemakanan berdasarkan sumber al-Quran dan pandangan ulama terhadapnya. Matlamat garis panduan ini adalah untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada pengusaha, usahawan Muslim dan orang awam yang merangkumi penyediaan, pemprosesan, penyimpanan, pembungkusan, pengendalian dan pengangkutan bagi makanan, minuman dan barang gunaan Islam.

2.2.3  – SUMBER BAHAN MAKANAN DAN MINUMAN.
       Sumber utama makanan dan minuman manusia adalah dari haiwan, tumbuh-tumbuhan, bahan semulajadi, bahan kimia dan mikro-organisma yang mana ada di antaranya yang dihalalkan dan ada yang diharamkan. Garis panduan tersebut adalah berdasarkan pembahagian di bawah:
2.2.3.1 - Haiwan
Haiwan boleh dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Haiwan Darat dan Haiwan Air.
       Semua Haiwan Darat halal dimakan kecuali haiwan yang tidak disembelih mengikut hukum syarak, babi, anjing, haiwan yang mempunyai taring atau gading yang digunakan untuk membunuh iaitu haiwan-haiwan buas seperti harimau, beruang, gajah, badak sumbu, kucing dan seumpamanya, burung yang mempunyai kuku pencakar, paruh tajam, makan menyambar (burung pemangsa) seperti burung helang, burung hantu dan seumpamanya. Selain daripada itu haiwan-haiwan yang disyariatkan oleh Islam untuk dibunuh seperti tikus, kala jengking, burung gagak, lipan, ular dan seumpamanya, haiwan yang dilarang oleh Islam membunuhnya seperti semut, lebah, burung belatuk, burung hud-hud dan labah-labah.
       Haiwan yang dipandang jijik (keji) oleh umum seperti kutu, lalat, ulat dan seumpamanya, haiwan yang hidup di darat dan di air (dua alam) seperti katak, buaya, penyu, anjing laut dan seumpamanya dan semua jenis haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang dihasilkan oleh bioteknologi DNA adalah halal kecuali yang berasal dari haiwan yang lahir dari salah satu keturunan dari babi atau anjing juga adalah haram dimakan.
       Haiwan Air ialah haiwan yang boleh hidup secara hakikinya di dalam air sahaja. Ianya adalah halal dan boleh dimakan kecuali yang beracun, memabukkan dan membahayakan kesihatan manusia.

2.2.3.2 - Tumbuh-tumbuhan
       Semua jenis tumbuh-tumbuhan dan hasilnya adalah halal dimakan kecuali yang berbisa, beracun, memabukkan, membahayakan kesihatan manusia serta yang dihasilkan oleh bioteknologi DNA yang bersumberkan dari bahan yang haram.
2.2.3.3 - Minuman
       Semua air adalah halal diminum kecuali yang beracun, memabukkan dan membahayakan kesihatan manusia dan bercampur dengan benda-benda najis.
2.2.3.4 - Bahan Semulajadi
       Semua bahan semulajadi seperti air, mineral dan lain-lain adalah halal kecuali yang bercampur dengan najis, beracun, memabukkan dan membahayakan kesihatan.
2.2.3.5 - Bahan Kimia
       Semua bahan kimia adalah halal kecuali yang bercampur dengan najis, beracun, memabukkan dan membahayakan kesihatan.
2.2.3.6 - Bahan Tambah
       Bahan Tambah (Food Additives) seperti penstabil, pengemulsi, pewarna dan seumpamanya adalah halal kecuali yang dihasilkan dari sumber haiwan atau tumbuh-tumbuhan yang diharamkan oleh hukum syarak.
       Secara keseluruhan, apa yang dapat dirumuskan disini bahawa ulama telah menentukan garis panduan makanan halal itu berdasarkan ayat-ayat yang terdapat di dalam al-Quran. Berdasarkan kepada ayat-ayat tersebut juga pihak Jakim telah memperincikan garis panduan tersebut untuk mengelakkan kesangsian masyarakat terhadap kehalalan dan keharaman sesuatu produk itu.

2.3     AMALAN DALAM ISLAM DAN SAINS KESIHATAN

2.3.1    – BERWUDUK

       Wuduk didefinisikan sebagai menyucikan anggota-anggota badan tertentu dengan menggunakan air yang bersih mengikut tatacara yang ditetapkan syariat. Allah menjelaskan di dalam surah al-Maidah ayat 6 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, apabila Kami hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil) maka berwuduklah, iaitu basuhlah muka kamu, kedua belah tangan kamu hingga ke siku, sapu lah sebahagian daripada kepala kamu dan basuhlah kedua belah kaki kamu hingga ke buku lali. ” Selain daripada anggota-anggota wajib tersebut, terdapat juga beberapa anggota lain yang sunat dibasuh ketika berwuduk sepertimana yang disebut dalam hadis sahih, Humran melaporkan,
       “Uthman bin Affan meminta supaya (dibawa kepadanya) air bagi mengambil wuduk, lalu dia pun berwuduk. (Mula-mulanya) dia membasuh kedua tapak tangannya tiga kali, kemudian dia berkumur-kumur dan menyedut air ke dalam hidung serta menghembuskannya. Kemudian dia membasuh mukanya tiga kali, membasuh tangan kanannya tiga kali dan tangan kirinya (seperti itu juga). Kemudian dia menyapu sedikit daripada kepalanya diikuti dengan membasuh kaki kanannya meliputi buku lali tiga kali dan seterusnya membasuh kaki kirinya (seperti itu juga). Selepas itu dia (Uthman bin Affan) berkata, ‘ Aku melihat Rasulullah berwuduk seperti wudukku ini. ’ ” Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim ini menceritakan dengan bagitu jelas berkenaan cara berwuduk yang sempurna sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW.

2.3.2  – SOLAT

       Solat merupakan ibadah yang wajib dilaksanakan oleh setiap manusia yang beragama Islam. Solat juga boleh mendatangkan pelbagai kebaikan kepada diri seseorang termasuk dari sudut kesihatan. Semasa melakukan solat, umat Islam wajib sujud dengan meninggikan punggung dan meletakkan dahi serta kepala mereka ke bumi. Mengikut kajian, sekiranya kedudukan ini dilakukan dari semasa ke semasa, ia memberi kebaikan kepada kecergasan otak. Otak manusia menggunakan 25% daripada oksigen yang terdapart dalam tubuh walaupun beratnya hanya 3% daripada keseluruhan berat badan. Sekiranya manusia berada dalam keadaan biasa, sebahagian sel-sel otak tidak mendapat keperluan oksigen yang diperlukan kerana jantung terpaksa mengepam darah ke atas sekali gus melawan tekanan graviti. Dengan cara ini,otak akan semakin cergas dan fokusnya semakin mantap. Peter Rusell dalam bukunya, The Brain Book berpendapat, “ Otak manusia beroperasi 7% lebih cepat dan 14% lebih tepat dalam keadaan kepala mereka di bawah (inverted). ”
       Solat juga membantu memperelok dan memantapkan sendi-sendi terutamanya bagi pesakit radang sendi seperti osteoarthtitis. Dalam satu artikel bertajuk Chronic Pain: Exercise Can Bring Relief di MayoClinic. com, pakar-pakar di Mayo Clinic mengatakan senaman secara konsisten adalah penting bagi kesihatan sendi di samping membantu mengurangkan sakit. Hal ini merupakan kesan daripada pengeluaran hormone endorphin yang dirangsang oleh aktiviti senaman. Hormon ini berfungsi untuk mengurangkan rasa sakit.

2.3.3     – BERPUASA

       Puasa merupakan rukun Islam yang ketiga selepas mengucapkan dua kalimah syahadah dan solat lima waktu. Puasa yang dimaksudkan ialah puasa pada bulan Ramadhan. Perintah ini adalah berdasarkan penjelasan Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud, “ Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atasmu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas mereka yang sebelummu semoga kamu bertakwa. ”
       Islam sendiri mengakui  akan peri pentingnya dan kesihatan  diri. Elakkan daripada berdepan dengan mereka yang mengidap penyakit bertujuan menghindarinya.Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Jika kalian mendengar ada wabak ta’un di sebuah negeri, maka janganlah kalian memasuki negeri tersebut. Dan jika ta’un itu mewabak di negeri kalian, janganlah kalian keluar dari negeri kalian untuk menghindari penyakit itu.”
(Hadis Riwayat  Bukhari dan Muslim)               
       Dalam erti kata lain, Islam memerintahkan umatnya supaya berwaspada dan mengawal diri dari tempat penyakit berjangkit menular. Apatah lagi orang yang sedang sakit itu mendedahkan dirinya kepada masayarakat umum. Sehubungan itu, Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya “Tidak sepatutnya orang yang sakit mengunjungi (bergaul dengan) orang yang sihat ”
(Hadis Riwayat Bukhari)

2.4     PENJAGAAN KESIHATAN MENURUT PANDANGAN PERUBATAN DAN ISLAM

    Islam memandang berat soal penjagaan kesihatan ummatnya. Islam mengajar kepada kita untuk menjaga kesihatan dengan cara pencegahan sebelum ditimpa sebarang penyakit, “Mencegah itu lebih baik daripada berubat” sementara apabila ditimpa penyakit, maka kita disuruh untuk mengubatinya.
       Dalam keghairahan menghasilkan produk makanan masa kini, telah menimbulkan pelbagai isu halal-haram. Kebanyakan isu yang timbul kini adalah berkaitan dengan bahan bersumber khinzir dan derivatifnya. Ini kerana ia mudah didapati dengan harga yang murah berbanding bahan lain. Selain itu, penggunaan alatan moden dalam sembelihan juga turut menjadi polemik. Walaupun kaedah yang digunakan bersifat efisien dan ekonomik, namun aspek ihsan terhadap haiwan yang disembelih turut perlu diambil kira. Ini kerana sekiranya sembelihan tidak patuh syariah, ia akan menukar status haiwan tersebut kepada haram untuk dimakan dan dimanfaatkan. Begitu juga dengan penggunaan darah dari rumah sembelihan dalam pemprosesan makanan bebola, ia turut haram walaupun dapat mengelak pembaziran sisa rumah sembelihan. Pengharaman ini jelas dalam al-Quran.
       Justeru, Islam sebagai satu sistem hidup yang lengkap, yang disediakan panduan dari al-Quran dan al-Sunah selamanya relevan dalam menangani perkembangan hidup masyarakat. Islam memandang berat soal penjagaan kesihatan ummatnya. Islam mengajar kepada kita untuk menjaga kesihatan dengan cara pencegahan sebelum ditimpa sebarang penyakit, “Mencegah itu lebih baik daripada berubat” sementara apabila ditimpa penyakit, maka kita disuruh untuk mengubatinya.
       Rasulullah SAW bersabda "Tiada satu tempat yang dipenuhkan oleh anak Adam yang lebih mencelakakan dirinya selain daripada perutnya. Memadailah untuk anak Adam itu beberapa suap makanan untuk menegakkan tulang belakangnya (bagi menahan kelaparan dan untuk berdiri beribadah). Jika itu tidak dapat dipertahankan, maka hendaklah bahagikan perut kepada tiga bahagian, satu untuk makanan, satu untuk minuman dan satu lagi kosongkan untuk bernafas." ( Riwayat Ahmad dan Tirmizi)



3.0 - KESIMPULAN

Makanan adalah merupakan suatu keperluan fisiologi yang mesti dipenuhi untuk kehidupan. Pengambilan makanan yang tidak seimbang atau tabiat pemakanan yang tidak sihat boleh menyebabkan seseorang itu berhadapan dengan risiko pelbagai jenis penyakit. Akan tetapi perlu difahami, bahawa makanan bukanlah merupakan faktor tunggal yang boleh menyebabkan kemudaratan atau boleh mendatangkan penyakit. Ini kerana penyakit mungkin boleh disebabkan oleh berbagai-bagai faktor seperti kuman, jangkitan dan tekanan emosi.
Kajian menunjukkan bahawa kadar kematian yang disebabkan oleh penyakit kronik di kalangan masyarakat masa kini adalah berpunca daripada kandungan makanan itu sendiri seperti kandungan lemak, gula dan garam dan bukannya dari aditif makanan apatah lagi apabila makanan ini dimakan tanpa kawalan.
Oleh yang demikian, seseorang itu perlu teliti dalam hal-hal yang berkaitan dengan makanan dan pemakanan agar makanan yang diambil tidak mendatangkan kemudaratan pada diri sama ada dari sudut fizikal, mental, spiritual dan seterusnya terhadap pembentukan sifat-sifat mulia kemanusiaan. Islam amat mementingkan kesihatan tubuh badan kerana dari situ terhasilnya minda yang sihat dan buah fikiran yang bernas. Sejajar dengan itu, seseorang itu seharusnya mengubah amalan pemakanan harian dengan hanya mengambil makanan yang berkhasiat dan bermutu, seimbang dan sederhana dan pelbagai, mencukupi dan mempunyai kalori yang terkawal sesuai dengan diet yang diperlukan. Bukan kerana mengikut aliran hidup masyarakat moden atau tuntutan nafsu semata-mata.
       Konsep halal haram mengenai makanan dan minuman merupakan suatu fenomena yang telah lama wujud bermula dari nabi Adam a.s. sehingga kepada nabi Muhammad SAW. Ianya bersifat universal dan ditujukan kepada semua manusia tanpa mengira agama atau batasan geografi bertujuan untuk menjamin kesejahteraan umat manusia. Bagi orang Islam, halal merupakan arahan agama bagi mengharuskan penganutNya memakan makanan yang dibenarkan oleh Allah SWT dengan batasanbatasan tertentu. Ini kerana dalam ajaran Islam makanan bukan sahaja mesti halal, tetapi mestilah tayyiban yang merupakan ciri-ciri utama dalam pemilihan makanan.
       Mengamalkan prinsip halalan tayyiban dalam hal-hal yang berkaitan dengan makanan dan pemakanan adalah merupakan suatu kewajipan yang mesti dilaksanakan oleh setiap individu Muslim. Ini adalah kerana ia merupakan perintah dari Allah SWT yang antara lain tujuannya ialah untuk mengekalkan kesempurnaan kejadian manusia. Pengkajian yang berhubung dengan hukum pengambilan makanan segera adalah merupakan pengalaman yang amat berharga dalam mencungkil khazanah ilmu-ilmu Islam. Sehubungan dengan itu, setiap saranan yang 238 dikemukan ini dapat dijadikan sebagai pedoman dalam menangani isu-isu yang berkaitan hukum pengambilan makanan segera dan mudah-mudahan ianya dapat di realisasikan dalam kehidupan. Antara saranan-saranan yang penting adalah;
a)    Mewujudkan Akta Halal khusus terhadap hal-hal yang berkaitan dengan makanan bagi menjamin kepentingan pengguna terutamanya yang beragama Islam. Dengan wujudnya undang-undang yang khusus mengenai makanan dan produk halal dengan sendirinya bidang kuasa yang dikatakan sangat terhad pada masa kini akan dapat ditingkatkan.
b)    Melantik badan-badan Islam di luar negara sebagai wakil negara bagi memastikan produk makanan khususnya makanan segera yang diimport ke nagara ini terjamin status halal haram nya.
c)    Menggunakan media massa bagi meningkatkan ilmu mengenai kesihatan dan amalan pemakanan, terutamanya amalan pengambilan makanan segera dengan memberikan maklumat berhubung dengan keburukan dan kebaikan amalan pengambilan makanan segera. Menerangkan cara-cara pemilihan makanan segera yang sihat, di samping menerbitkan buku, majalah, risalah dan rencana yang berkaitan dengannya.
       Selain itu, AGENSI-AGENSI KERAJAAN harus dipertanggungjawabkan dalam hal-hal yang berkaitan dengan pengurusan, pemantauan, penguatkuasaan dan kawalan makanan seperti JAKIM, HDC, MAIN, JAIN, KKM,  mengesyorkan:
a)    Mengemas kini kaedah pemantauan dan penguatkuasaan berhubung dengan sijil dan produk halal, melibatkan pegawai di pelbagai jabatan dalam usaha memantau sebarang penyelewengan dan pemalsuan produk atau logo halal yang dikeluarkan
       Akhir sekali, sebagai PENGGUNA, mereka seharusnya peka dengan perkembangan teknologi pemakanan. Kefahaman terhadap perkembangan tersebut akan dapat membantu pengguna dalam memilih makanan segera yang betul bagi menghindarkan diri dan keluarga daripada kemudaratan.